4.06.2009

ilhamku..

hayati bersama..
Memperkasa Pengajian Tinggi

Alhamdullilah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kepada Illahi dengan limpah dan rahmatNya dapatlah kita menjalankan kehidupan ini seperti sedia kala. Mungkin sehingga hari ini kita sudah banyak melakukan maksiat dan dosa tanpa kita sedari. Sebagai hamba yang lemah, sudah pasti kita tidak terlepas dari berhadapan dengan pelbagai cabaran dan penderitaan. Kita akan mengeluh apabila ditimpa musibah ataupun cabaran. Sering memberontak apabila diuji Allah dengan kesakitan, kelaparan, kegagalan dan bermacam-macam jenis dugaan dan cabaran.Bersama-sama lah kita menilai dan muhasabah diri sejauh mana tahap keimanan kita dalam menempuhi pelbagai dugaan tersebut.

Pejam celik-pejam celik hanya 11 tahun sahaja lagi kita akan memasuki tahun 2020 . Wawasan yang disasarkan kerajaan suatu masa dahulu, sedikit sebanyak semakin menampakkan hasil. Mengimbas kembali sejarah Malaysia dalam era Pasca-Pembangunan , pemerkasaan pendidikan tinggi lebih banyak tertumpu kepada pembangunan insfrastrukur semata. Akan tetapi kini, pemerkasaan pendidikan tinggi perlulah ditumpukan kepada pembangunan mentaliti dan kualiti warga IPT sama ada mahasiswa mahupun pekerja sendiri. Telah banyak pelan-pelan pembangunan dan rancangan-rancangan kerajaan dirangka untuk mencapai matlamat pemerkasaan IPT seperti mewujudkan Universiti Apex, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif. Antara tujuannya adalah untuk mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan IPT-IPT yang ada di Malaysia. Selain itu, menerusi Bajet 2009 juga kerajaan telah memperuntukan RM31 bilion untuk menyediakan pendidikan yang lebih efektif dan efisyen bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Jumlah ini adalah antara jumlah terbesar yang akan disumbangkan kerajaan untuk sector pendidikan.

Tetapi malangnya, kita sebagai mahasiswa masih lagi berada dalam kerangka yang lama. Selaku masyarakat bergelar pelajar ataupun lebih spesifiknya mahasiswa, kita lalai dan alpa dengan dunia ciptaan sendiri yang sentiasa mengimpikan keseronokan sehingga kita lupa akan tanggunjawab yang sepatutnya kita lakukan. Sewajarnya kita menggunakan segala peluang dan ruang yang ada untuk mengutip sebanyak mana ilmu untuk persediaan pada masa akan datang. Walau sebanyak manapun pelan dan rancangan yang diwujudkan, jika kita sebagai mahasiswa tidak ingin berubah pokoknya segala perancangan tersebut hanyalah rancangan di atas kertas semata. Lebih meruncingkan apabila sikap mahasiswa sekarang yang sentiasa mengambil jalan mudah malah tidak wujud pemikiran kritikal ( critical thinking ) dalam diri mereka. Sepatutnya kita sebagai Mahasiswa yang mempunyai tahap idealisme yang tinggi seharusnya mengaplikasikan ilmu yang kita telah perolehi dalam kehidupan seharian , dan biarlah ilmu tersebut boleh memberi manfaat kepada orang lain . Disamping itu kita perlulah berani dalam melontarkan pendapat dan pandangan kita terhadap masyarakat sekeliling khususnya terhadap masyarakat kampus Uni Malaya ini.

Justeru, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memartabatkan dunia pendidikan agar kembali setanding dengan negara-negara maju yang lain haruslah kita raikan dan jayakan bersama. Menjadi tanggungjawab kita membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan matlamat tersebut. Semua perancangan yang difikirkan bukanlah untuk kepentingan mana-mana pihak. Bahkan ia bermanfaat untuk anak bangsa di masa akan datang. Oleh itu, tidak salah sekiranya kita turun padang bersama-sama untuk melihat impian atau agenda penting negara ”memperkasakan pendidikan tinggi bertaraf dunia “ menjadi kenyataan dan bukan lagi impian semata-mata.

11. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah[767]. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan[768] yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.